Wednesday 29 May 2013

[Laporan] Muhajir dan Ansar di Fadason

Alhamdulillah. Tak ada lagi ucapan yang dapat diucapkan untuk menggambarkan betapa tingginya penghargaan atas kerahiman allah swt yang telah memberi nikmat beragama Islam. Allah swt adalah satu zat yang telah mencipta manusia dan dia maha mengetahui akan keperluan hambanya. Allah swt perintahkan umat manusia untuk mengenali berkasih sayang satu sama lain, dan dia telah pun tunjukkan bagaimana mengikut cara yang dilakukan oleh baginda saw sebagai uswatun hasanah. Antara yang telah ditunjukkan oleh baginda adalah semangat persaudaraan antara muhajir dan ansar.

Telah dihantar satu jemaah dari Selayang ke surau Nur Falah, Taman Fadason pada 18hb mei 2013 seramai 5 orang semuanya. Kedatangan jemaah pada jam 12.45 tengah hari disambut mesra oleh timbalan pengerusi surau Nur Falah, Hj Syukor. Penduduk tempatan seterusnya duduk bersama jemaah untuk beritahu hal ehwal tempatan seperti jadual pengajian, ajk berkaitan untuk dijumpai, tempat letak beg jemaah dan amal-amal agama yang telah hidup setempat. Seterusnya orang tempatan, ansar, membentangkan keperluan agama semasa setempat seperti berapa banyak rumah yang belum dikunjungi untuk sebarkan syiar islam. Selain dari itu, mesyuarat juga memutuskan bagaimana program harian yang akan dijalankan.

Bayan "Fikir atas Iman dan Amal" yang disampaikan pada maghrib pertama jemaah di Taman Fadason

Selepas zohor, jemaah pun memberikan bayan Taaruf untuk menerangkan maksud kedatangan mereka ke surau Nur Falah Taman Fadason. Menurut pembayan, kedatangan adalah semata mata kerana Allah Taala. Bersaudara dan mewujudkan konsep muhajir dan ansar di kalangan umat adalah konsep yang akan dipraktikkan kerana pada sunnah itulah, kekuatan islam dizahirkan secara menyeluruh. Sesudah bayan, jemaah yang hadir dijamu makanan yang disediakan oleh pihak ansar, yakni penduduk tempatan, dan berehat sehingga ke waktu asar. 

Sesudah solat asar berjemaah, salah seorang daripada jemaah berdiri untuk memberikan bayan kepentingan dakwah. Tumpuan utama bayan ini diberikan adalah untuk menyebarkan fikir tentang pentingnya dakwah dalam kehidupan seharian setiap individu muslim dan pengiklanan kepada kerja ziarah yang akan dijalankan di kawasan perumahan tempatan. Dalam lebih kurang jam 6.15pm, usaha ziarah dijalankan. Kawasan yang berada di bawah tanggungjawab surau Nur Falah ialah blok d, blok e, dan blok f. Bayan "Fikir Atas Iman dan Amal" diadakan sejurus selepas solat ba'diah Maghrib. Bayan yang dipenuhi dengan kisah para anbiya' dan pengorbanan-pengorbanan orang terdahulu diakhiri dengan sesi Tasykil, memberi galakkan untuk orang yang duduk di dalam majlis bayan untuk memberikan nama mereka, dan azam untuk korban di jalan Allah. Beginilah yang berlaku selama 3 hari di Surau An Nur Falah Taman Permata Fadason. Pada malam pertama jemaah berada di Taman Fadason, ucapan alu-aluan juga diberikan oleh iman kedua Surau An Nur Falah, imam Zaki selepas solat Isya' didirikan. Ucapan yang disampaikan ringkas dan padat, memberikan galakan kepada kerja amar ma'ruf dan nahi mungkar.

 Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. - (Aali Imran, 104)

Manfaat yang diperolehi bukanlah dijanjikan kepada siapa yang didakwah, tetapi kepada sesiapa yang mendakwah. Ini adalah bertepatan dengan banyak ayat Al Quran dan hadis antaranya:

 Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidilharam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah - (At taubah, 19)

Dari Anas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sepagi atau sepetang di jalan Allah SWT adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya. (Mirqat) 

Moga-moga, dengan pertalian Muhajir dan Ansar ini akan merapatkan dan mengeratkan lagi hubungan sesama muslim. Tidak mengenal erti bangsa, fahaman politik, dan keturunan, semua umat Islam dapat disatukan hatinya dengan terbentuk amalan Muhajir dan Ansar sepertimana yang telah ditunjukkan oleh sirah Rasul Mulia Allah.

"Ya allah, satukanlah hati kami dalam usaha menyatukan umat. letakkanlah kasih sayang antara umat Islam di Taman Fadason dan kau kekanlah ia. Bangunkan orang Islam di sini untuk mencapai tahap taqwa sepertimana yang telah ditunjukkan oleh baginda. Kilatkanlah permata-permata Islam dari tempat ini. Berkatilah kami ya Allah."






Sementara ada jemaah sedang berjalan di luar untuk menyampaikan dakwah rumah ke rumah, pemuda yang dijemput mendengar kebesaran Allah di dalam masjid. 



Da'ie bermuzakarah tajwid Al-Quran



Ta'lim fadhail yang disampaikan oleh Ust Samad, ahli jemaah



Bayan pada Maghrib ketiga dari kedatangan jemaah Selayang




No comments:

Post a Comment

Buah fikiran dan pembetulan hasil penulisan amatlah bagus untuk dibincangkan di sini