Monday 23 April 2012

[Safar Dakwah] Bebanan di Akhirat

 

Berat, tapi aku memang perlukannya. Dalam beg pengembara aku ada beberapa helai baju,seluar dan kain pelikat. Termasuk juga 2 helai serban dan barang-barang keperluan harian, sabun basuh baju,sabun mandi, ketip kuku dan buku-buku. Berjalan ke hulu ke hilir setiap tiga hari berpindah ke marhallah lain untuk tunaikan hak-hak sesama muslim dan sebarkan amalan agama. Amalan agama apa? amalan yang berkaitan dengan masjid. Institusi masjid yang patut dihidupkan dan menjadikan masjid-masjid atau musolla di seluruh dunia cawangan kepada Masjid Nabawi. Beg aku memang besar. Lebih kurang 13-14 kg yang aku pikul. Nak ku tinggalkan, keperluan aku.Tanpanya, memang agak sukar safarku. Lantas ku teruskan memikul. Ku tinggalkan sebahagian yang tak perlu, dan bawa sebahagian yang perlu sehinggalah berkurang beberapa gram sahaja. Nanti, apabila aku berada di Malaysia, di situlah aku nak punyai berbagai kemewahan atau kemudahan dunia yang aku idamkan.

Dalam perjalanan ini lah (semasa di Bangladesh), dibukakan Allah,satu tamsil (perumpamaan) untukku bahawa apa yang aku pikulkan, itulah bebanan untukku di dunia ini lagi apatah di akhirat. Apa yang aku pikulkan itu memang betul ialah apa keperluanku. Tindakan aku betul sebab aku tinggalkan beberapa barang yang aku rasa ialah kemewahan untukku dalam safar ini. Lalu yang ku pikul hanyalah sebahagian yang aku benar-benar perlu seperti pakaian-pakaianku.

Kehidupan kita di dunia ini, ada beberapa yang kita perlu. Contohnya :

  • Pakaian
  • Makanan
  • Minuman
  • Tempat tinggal
  • Pasangan, dll

dan selain itu beberapa perkara yang hanya sekadar kemewahan. Contohnya :

  • Televisyen
  • Komputer
  • iPhone
  • Atop ngan Cici (hamster aku)

Kat sini kita dapat nilai, yang perkara kemewahan ini hanya akan menjadi beban untuk kita. Kenapa? sebab kita akan dipersoalkan ke atas semuanya sekali termasuk keperluan asas kita. Pakaian, makanan, tempat tinggal, dan pasangan akan ditanya oleh Allah bagaimana kita mendapatkannya dan bagaimana kita menggunakannya. Ini perkara asas, yang mana secara adatnya memang kita berhajat kepada perkara ini. Dalam soal jawab ini pun, dah tercungap-cungap kita nak jawab. Tambah lagi beban atas kita, kemewahan yang telah pun diharuskan oleh Allah untuk kita milikinya dan kita telah pun kejarkannya di dunia ni dengan rakusnya.

Balik kepada tamsil safarku tadi,

“Perjalanan membawa barang-barang keperluan”

umpama aku berjalan di muka bumi ni, dengan barang keperluan untuk hidup di dunia sekadar yang aku perlukan sahaja.

“meninggalkan barang-barang kemewahan untuk memudahkan perjalanan”

umpama aku meninggalkan kemewahan supaya memudahkan daku dalam perjalanan menuju ke akhirat kerana barang-barang tersebut hanya akan menjadi beban untukku dalam menuju kepada Allah.

“Dan apabila aku berada di Malaysia nanti, di situlah aku nak mempunyai berbagai kemewahan atau kemudahan dunia yang aku idamkan”

Di syurga nanti lah, akan ku dapat kemewahan yang aku idamkan. Bangladesh bukan tempat untuk aku mencari keuntungan di dunia, tetapi di Malaysia nanti adalah untuk aku mengecap nikmat yang aku idamkan.

“Jom berhabis duit untuk ini, untuk itu. Eh, tak cukup ni. Kete saga flx se mana cukup, kena tambah kete lain ni”

seumpama

“Jom tambahkan soalan Allah atas harta kita. Eh, soalan 50 ribu tahun mana cukup, kena tambah lagi 60 ribu tahun ni”

Sebagai manusia, memang kita ada banyak keinginan. Tapi, keinginan Allah atas harta kita ialah untuk dibelanjakan di jalan Allah. Oleh itu, jom lah sama-sama kita gunakan harta kita untuk jalan Allah.

Gaji sebulan RM 2500, gunakan sebahagian mungkin RM 150 untuk mengajak orang kepada Allah. Tak banyak pun, sebahagian aje. Dan yang paling penting, sebulan kita punyai 30 hari, gunakan 1/10 daripada sebulan untuk berada di jalan Allah. sebab Allah minta umat Islam untuk infakkan harta, dan diri (masa kita) dengan lafaz “waw” yaitu “dan”. Bila guna “dan”, bermaksud Allah hendak kita untuk korbankan kedua-dua sekali yang kita sayangi.

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَـٰهَدُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِهِمۡ وَأَنفُسِہِمۡ أَعۡظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِ‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَآٮِٕزُونَ

Ertinya : “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” – Surah AtTaubah : 20

No comments:

Post a Comment

Buah fikiran dan pembetulan hasil penulisan amatlah bagus untuk dibincangkan di sini